Kementerian Belia dan Sukan mengambil maklum pengumuman Menteri Kanan Pertahanan pada 12 Oktober 2020 mengenai arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah dikuatkuasakan di negeri Sabah pada 13 Oktober hingga 26 Oktober 2020, manakala Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula pada 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020. Lantaran itu, SOP lanjut dan lebih terperinci telah diumumkan oleh pihak MKN di mana sektor sukan dan rekreasi turut terjejas.
Merujuk kepada SOP yang telah dibentangkan oleh Menteri Kanan Pertahanan pada 13 Oktober 2020, telah pun diperjelaskan bahawa aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal dan dijalankan secara individu tidak melebihi 10 orang seperti esports, berjalan, jogging, berbasikal, senam robik kendiri dan lain-lain yang dilakukan di kawasan terbuka adalah DIBENARKAN.
Dalam pada itu, aktiviti di kawasan tertutup (indoor), aktiviti kolam renang, aktiviti bersentuhan fizikal, aktiviti perlawanan bagi sukan berpasukan dan aktiviti penganjuran kejohanan / pertandingan adalah TIDAK DIBENARKAN.
Di samping itu, program latihan berpusat atlet yang sedia ada dibawah kendalian Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri-negeri berkenaan boleh diteruskan secara tertutup dan terkawal (Quarantine Based Approach) seperti yang dilaksanakan di Kompleks MSN Bukit Jalil dan Keramat, Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara dan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kg. Pandan.
Sehubungan dengan itu, penggiat sukan dan rekreasi termasuk pemilik dan operator fasiliti seperti padang bola sepak, kompleks sukan, dewan badminton, gimnasium, kolam renang, pusat rekreasi dan sebagainya dalam negeri dan kawasan PKPB perlu mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh MKN untuk menangguh dan menjadualkan semula semua aktiviti sukan dan rekreasi masing-masing. Operasi fasiliti sukan dan rekreasi juga hendaklah ditutup secara sementara sepanjang tempoh PKPB ini.
Manakala di daerah atau negeri lain, program serta acara sukan dan rekreasi boleh diteruskan dengan mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa. Ini adalah untuk kita sama-sama membantu memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19.
KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN MALAYSIA
13 Oktober 2020