Kuala Lumpur: Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat kini hanya tinggal kenangan terutama buat atlet yang pernah dibimbing serta dibentuk menjadi antara atlet terkenal di dunia.
Baru-baru ini, MSN menerusi Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyerahkan secara rasmi kompleks itu bagi pembangunan perumahan serba moden The Valley Residence di bawah pemaju perumahan Syarikat SkySierra Development Sdn Bhd.
Kompleks itu dibina pada 23 Oktober 1995 dan siap sepenuhnya pada 22 Oktober 1996 bertujuan untuk menyediakan gelanggang kejohanan selain melahirkan atlet bertaraf dunia.
Ia turut menyediakan asrama buat atlet serta gelanggang sukan termasuk badminton, petanque, tenis dan lapangan memanah yang boleh disewa oleh orang awam selain bilik dan dewan mesyuarat.
Ahmad Shapawi menzahirkan rasa sedih terpaksa melepaskan kompleks serba guna itu selepas pelbagai memori dilakar bersama atlet negara.
“Di sinilah tempat kita jatuh bangun, bergaduh dan sebagainya bersama pegawai dan atlet negara. Sudah tentu kami di MSN berasa sedih dan terkesan kerana di sini antara tempat melahirkan atlet disegani,” katanya dalam laman YouTube rasmi MSN.
Atlet memanah, sepak takraw, tinju dan petanque yang sebelum ini ditempatkan di kompleks itu semuanya sudah berpindah ke kompleks baharu MSN di Nilai, Negeri Sembilan.
Sumber HMetro