Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) ingin mempelawa mana-mana rakyat Malaysia yang berkelayakan serta berminat untuk memohon jawatan Pengurus Besar – Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia.
Sila isikan borang permohonan yang boleh dimuat turun dibawah, sertakan resume (CV) dan hantarkan kepada honsecretary@masarchery.org.
Tarikh tutup permohonan adalah pada 16hb Disember 2024.
Kelayakan
- Berpengalaman sekurang-kurangnya 5 tahun dalam sukan memanah kebangsaan dan antarabangsa.
- Berpengalaman menguruskan organisasi prestasi tinggi kearah pencapaian tinggi sukan.
- Mempunyai kualiti kepimpinan dan kemahiran pengurusan yang baik, berkeyakinan tinggi, berfikiran secara kreatif dan mengawal semua peringkat tenaga kerja dan operasi prestasi tinggi di bawahnya.
- Berkemampuan menguruskan dana dan pelan perancangan korporat untuk Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM).
- Mempunyai kemahiran dalam penyediaan kertas cadangan projek jangka masa pendek dan panjang.
- Sekurang-kurangnya Memiliki Ijazah Sarjana Muda atau kelayakan setara serta diiktiraf.
- Berkemahiran menggunakan pelbagai aplikasi dan teknologi terkini kearah prestasi sukan tinggi sukan Memanah.
Tugas-Tugas
- Melapor terus kepada Presiden dan Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia Serta Jawatankuasa Prestasi Tinggi Memanah Malaysia.
- Perancangan Strategik Sukan – Merancang dan melaksanakan strategi pembangunan sukan memanah, termasuk program latihan dan pencapaian jangka panjang. Menyediakan pelan pembangunan untuk atlet, jurulatih, dan kemudahan sukan. Mengenal pasti dan memanfaatkan peluang bagi meningkatkan prestasi sukan memanah di peringkat nasional dan antarabangsa.
- Pengurusan Operasi dan Organisasi – Menyelia operasi harian pasukan memanah, termasuk latihan, pertandingan, dan acara. Memastikan semua aktiviti berjalan lancar dengan efisiensi dan mengikut perancangan. Menguruskan logistik, seperti penyediaan peralatan, lokasi latihan, dan keperluan perjalanan.
- Pengurusan Kewangan dan Sumber – Menyediakan belanjawan untuk program sukan memanah dan memastikan peruntukan digunakan secara optimum. Memohon dana daripada badan sukan, penaja, atau kerajaan. Menyelia pembelian peralatan memanah dan penyelenggaraan fasiliti.
- Pengurusan Atlet dan Jurulatih – Membantu dalam proses pemilihan atlet dan jurulatih. Memastikan atlet dan jurulatih menerima sokongan yang mencukupi, seperti latihan, fasiliti, dan khidmat sokongan (contoh: fisioterapi, psikologi sukan). Mengadakan perbincangan dengan jurulatih untuk menyelaraskan strategi latihan dan prestasi.
- Pemantauan Prestasi dan Penilaian – Menilai prestasi atlet dan pasukan melalui data dan laporan daripada jurulatih. Mengenal pasti kelemahan pasukan dan mencadangkan langkah untuk penambahbaikan. Memastikan kemajuan dan pencapaian pasukan selaras dengan matlamat organisasi sukan.
- Hubungan dengan Pihak Berkepentingan – Menjadi penghubung antara pasukan memanah, persatuan sukan memanah, kerajaan, dan penaja. Mengurus hubungan dengan media dan mempromosikan sukan memanah kepada orang awam. Berhubung dengan badan sukan antarabangsa untuk peluang pertandingan atau pembangunan.
- Pematuhan Peraturan dan Risiko – Memastikan semua aktiviti sukan memanah mematuhi peraturan badan sukan nasional dan antarabangsa. Mengurus risiko yang boleh menjejaskan keselamatan atlet, jurulatih, atau operasi pasukan. Menyediakan polisi keselamatan untuk latihan dan pertandingan.