Atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad tidak kisah mengorbankan hari raya demi memastikan pasukan memanah negara layak ke temasya Olimpik Tokyo Julai ini.
Dia yang sudahpun mengesahkan tempat ke temasya terbesar itu menerusi acara individu berkata, apa yang penting ketika ini adalah fokus kepada latihan dan pertandingan.
Skuad memanah negara bakal berdepan kejohanan terakhir menjelang Olimpik iaitu Kejohanan Kelayakan Berpasukan yang berlangsung serentak dengan Piala Dunia peringkat ketiga pada 18 hingga 21 Jun ini di Paris.
Justeru, fokus perlu diberikan kepada latihan bagi memastikan impian membawa skuad trio negara ke Tokyo dapat direalisasikan.
“Sudah menjadi rutin tahunan apabila tak dapat beraya dan berpuasa bersama keluarga di kampung. Memang rasa sedih sedikit tapi kami perlu korbankan kerana perlu fokus kepada latihan dan pertandingan.
“Dalam acara berpasukan setiap atlet memainkan peranan masing-masing dan kami saling melengkapi antara satu sama lain. Jadi kami perlu terus kekal fokus.
“Kami tak boleh pentingkan diri untuk berjaya. Kerjasama pasukan itu adalah penting. Saya memang yakin dengan pasukan tak kira bertukar ahli baharu atau tidak bila beraksi saya tetap memberi yang terbaik,” katanya.
Khairul Anuar sudahpun mengesahkan tempat ke Olimpik selepas menduduki tempat kedua Kejohanan Dunia di Belanda.
Fokus utama skuad memanah ketika ini untuk memburu tempat dalam acara berpasukan dan jika layak secara automatik boleh beraksi acara individu.
Untuk layak ke Tokyo, trio negara perlu menamatkan saingan di kedudukan tiga terbaik di kejohanan itu.
Sumber: HMETRO