Bekas ketua jurulatih skuad memanah negara, Lee Jae Hyung, mempunyai tugas baru selepas kontraknya ditamatkan tahun lalu.
Nadi Arena sebelum ini melaporkan bahawa Jae Hyung tidak akan mengiringi skuad memanah negara ke Sukan SEA Hanoi bulan depan.
Ia merupakan sesuatu yang mengejutkan memandangkan jurulatih itu tidak pernah terlepas sebarang edisi Sukan SEA bersama kontinjen negara sejak 1999.
Bagi menjawab mengenai persoalan itu, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, tampil mengesahkan bahawa kontrak jurulatih kelahiran Korea Selatan itu telah ditamatkan tahun lalu kerana dia akan dinaikkan pangkat sebagai pengarah kejurulatihan skuad memanah negara dengan hitam-putihnya akan diselesaikan dalam masa terdekat.
“Kami telah mengadakan perbincangan dengannya dan juga dengan Persatuan (Memanah Kebangsaan Malaysia) pada minggu lalu dan hanya menunggu kelulusan cadangan tersebut untuk kami menawarkannya kontrak baru bagi tahun ini.
“Insya-Allah dalam seminggu dua ini ia akan selesai.
“Memang kita banyak program memanah di peringkat akar umbi tetapi daripada segi pembangunan kejurulatihan, ia masih belum berada di tahap yang kami mahukan.
“Jadi, dengan adanya peranan yang dimainkan oleh jurulartih Lee, diharapkan akan ada lebih ramai jurulatih yang mampu mengenal pasti dan melatih atlet mengikut KPI (indeks prestasi utama) dan DNA yang telah ditetapkan oleh persatuan dan MSN,” kata Jefri.
Selepas 21 tahun, Lee Jae-Hyung berpisah dengan team memanah sebagai ketua jurulatih negara. Agaknya apa impak kepada memanah negara selepas ini?#memanah @syennn__ pic.twitter.com/NteeLNOudJ
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) April 18, 2022
Pengarah Atlit MSN, Jefri Ngadirin sahkan kontrak Ketua Jurulatih Pasukan Memanah Negara Lee Jae-Hyung telah ditamatkan tahun lalu.#memanah@syennn__ pic.twitter.com/40gcfXNuhc
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) April 18, 2022