Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 27 Jun ini di Ubon Ratchatani, Thailand dibatalkan.
Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dr Pekan Ramli berkata keputusan itu dibuat Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) selepas mesyuarat bersama ketua-ketua delegasi negara-negara anggota, kelmarin.
Menurutnya, pembatalan ini adalah selepas penangguhan pertama temasya AUG edisi ke-20 itu yang sepatutnya diadakan pada Disember lalu akibat penularan wabak COVID-19.
Bagaimanapun, katanya, negara anggota AUSC bersetuju memberikan hak kepada Thailand untuk menganjurkan temasya 2022 bermula pada 22 hingga 30 Jun yang sepatutnya menjadi giliran Indonesia.
Indonesia pula dikatakan mahu menganjurkan AUG edisi ke-21 pada 2023 walaupun sepatutnya edisi seterusnya adalah 2024 yang mana sepatutnya giliran Malaysia bakal menjadi tuan rumah.
“Ada hikmah di sebalik penangguhan AUG ini dari Disember 2020 kepada Jun 2021 dan batal lagi ke Jun 2022. Sejujurnya, inilah keputusan yang tepat ketika pandemik COVID-19 ini masih pada tahap yang sangat membimbangkan,” katanya.
Pekan bagaimanapun berharap berharap atlet IPT negara tidak ‘burnout’ dan tetap bersemangat untuk meneruskan latihan dan bersiap sedia bagi menghadapi temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) yang akan berlangsung pada 18 hingga 29 Ogos ini di Chengdu, China.
Sumber: BHOnline