KUCHING, 6 Mei — Alet memanah paralimpik negara Wiro Julin menyasarkan untuk meraih sebarang warna pingat pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo, dijadual pada Ogos ini.
Pendatang baharu skuad kebangsaan itu muncul pemanah kedua menempah slot ke Tokyo selepas mara ke final acara compound individu dalam Kejohanan Memanah Para Asia di Bangkok, Thailand pada 2019.
Atlet berketurunan Bidayuh dari Kampung Peraya, Ulu Padawan itu sedang menjalani latihan bersama skuad memanah para kebansgaan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan dan dijangka mengikuti latihan pusat minggu depan sebagai persiapan sebelum ke Tokyo.
“Harapan saya ingin membawa pulang pingat tanpa mengira apa-apa warna sekalipun dan iringan doa daripada penyokong dan rakyat Malaysia keseluruhannya amat dihargai bagi membantu saya mencapai impian itu nanti,” kata atlet berusia 26 tahun itu ketika dihubungi Bernama hari ini.
Malaysia dijangka menghantar empat atlet memanah ke temasya Paralimpik Tokyo dan Wiro akan menyertai acara compound individu lelaki.
Rutin latihan Wiro bermula seawal 7.30 pagi hingga 11 atau 12 tengah hari, dan kemudiannya diikuti sesi petang bermula 2.30 hingga 4 petang selain mengikuti program latihan di gimnasium.
Wiro menjalani latihan di bawah bimbingan bekas atlet kebangsaan Amirullah Ahmad, yang pernah membimbing atlet memanah meraih pingat perak di Paralimpik London 2012.
Wiro pernah mewakili negara ke Kejohanan Memanah Sedunia di Belanda pada Jun 2019, tetapi pulang dengan tangan kosong.
“Pada kejohanan di Belanda saya cuma dapat lawan dua kali sahaja dan tidak mara ke pusingan seterusnya setelah tewas kepada pemanah Australia dengan hanya satu mata arrow tie sahaja,” katanya.
Sumber: BERNAMA