Harapan untuk menyaksikan skuad memanah negara bersaing dalam acara berpasukan campuran di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 kini terbuka luas selepas acara itu mendapat lampu hijau untuk dipertandingkan, namun segala-galanya masih bergantung kepada sistem kelayakan yang akan ditetapkan pihak Persekutuan Memanah Dunia (WA).
Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan berkata, pihaknya masih menunggu penjelasan lanjut berhubung kaedah pemilihan atlet untuk ke temasya berprestij itu.
“Kami sudah lama menyuarakan hasrat agar acara ini dimasukkan ke dalam Olimpik dan Alhamdulillah, kali ini ia diluluskan untuk LA 2028. Namun buat masa ini, hanya acara berpasukan campuran yang dipertandingkan dan kita perlu tunggu bagaimana bentuk kelayakan yang akan ditetapkan nanti.
“Kita akan berhubung semula dengan pihak WA dan minta penerangan yang lebih jelas. Mereka masih belum tetapkan sistem kelayakan buat masa ini,” katanya.
Mengulas mengenai potensi atlet yang berpeluang menyertai acara itu, Abdul Hamid memaklumkan pemilihan biasanya dilakukan berdasarkan kedudukan ranking semasa atlet lelaki dan wanita terbaik negara.
“Sekarang ini, antara nama yang disebut adalah Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli yang pernah beraksi di pentas dunia. Tapi pemilihan belum muktamad kerana mungkin akan ada proses lain nanti.
“Untuk kategori lelaki, kita harapkan Alang dan Mohd Juwaidi Mazuki. Walaupun Alang sedang berada di tahap terbaik, pengalaman Juwaidi juga jadi sandaran penting. Bagi wanita, Fatin (Nurfatehah Mat Salleh) antara pilihan utama,” katanya.
Tambahnya lagi, skuad memanah negara sememangnya mempunyai kedudukan yang baik dalam ranking berpasukan campuran dan pernah berada dalam kelompok 10 terbaik.
Justeru untuk itu pihaknya bersedia menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Khas bagi memantau perkembangan dan proses kelayakan ke LA 2028.
“Kita akan buat mesyuarat bersama Jawatankuasa Pemilihan dalam masa terdekat seiring dengan perkembangan daripada WA untuk menentukan program dan bagaimana cara terbaik untuk bantu atlet layak ke LA,” katanya.