Jurulatih memanah compound negara, Zulfadhli Ruslan menzahirkan rasa syukur atas pencapaian pasukan memanah Malaysia yang meraih satu pingat emas, empat pingat perak dan dua pingat gangsa pada Sukan SEA 2025.
Zulfadhli berkata, meskipun sasaran awal pasukan adalah untuk memenangi tiga pingat emas, pencapaian diraih tetap membanggakan dalam situasi persaingan sengit sepanjang kejohanan.
“Kami datang dengan persiapan rapi dan sasaran yang tinggi, namun ada kalanya keadaan tidak menyebelahi kami, terutama faktor cuaca dan tekanan pertandingan.
“Bagaimanapun, saya bangga dengan semangat juang serta usaha ditampilkan semua atlet,” katanya ketika ditemui TVS di Lapang Sasar Memanah, Sports Authority of Thailand, di sini, hari ini.
Dalam acara berpasukan compound lelaki, Malaysia menambah koleksi pingat apabila berjaya meraih emas, manakala dalam acara individu, Mohd Juwaidi Mazuki menghadiahkan pingat perak selepas berjuang sengit di pentas final.
“Kejayaan meraih emas dalam acara berpasukan pagi tadi adalah satu pencapaian besar buat kami. Walaupun Juwaidi hanya meraih perak dalam acara individu, prestasinya tetap luar biasa,” katanya.
Zulfadhli berkata, meskipun pasukan memanah negara membawa pulang tujuh pingat keseluruhan, mereka tetap bertekad untuk mempertingkatkan prestasi, khususnya dengan mensasarkan lebih banyak pingat emas pada temasya akan datang.
“Kita perlu bekerja lebih keras, terutama menjelang Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Malaysia. Itu peluang terbaik untuk kita mempamerkan kemampuan sebenar,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pasukan memanah compound negara bersedia menghadapi cabaran lebih besar di pentas antarabangsa, termasuk Sukan Asia 2026, selepas meraih pingat dalam dua edisi berturut-turut sebelum ini.
“Kami akan terus berusaha untuk tampil lebih cemerlang di peringkat antarabangsa,” katanya. – TVS










