Mesyuarat Pembentangan Penajaan Syarikat BubblesO2 bersama Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dan Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Casa 4, MSN Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Presiden NAAM dengan kehadiran CEO BubblesO2, Tuan Haji Arifin bin Marzuki dan delegasi, barisan kepimpinan NAAM, serta pegawai-pegawai MSN.
Mesyuarat ini telah menyaksikan pembentangan terperinci oleh NAAM mengenai cadangan penajaan dan bentuk kerjasama strategik yang dirancang, khususnya dalam usaha menyokong pembangunan sukan memanah tanah air.
Perbincangan turut merangkumi potensi penajaan, sokongan bagi program peringkat akar umbi, penglibatan BubblesO2 dalam kejohanan-kejohanan utama anjuran Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dan seterusnya merealisasikan potensi memenangi pingat di Sukan Olimpik LA 2028 dan Brisbane 2032.
Mesyuarat berakhir dengan perbincangan terbuka yang konstruktif, menandakan satu langkah positif ke arah jalinan kerjasama antara sektor korporat dan badan sukan negara dalam usaha memperkasakan sukan memanah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.