Atlet memanah negara, Arianna Nur Dania Mohd Zairi, kini ‘berteman’ untuk ke fasa latihan akhir di Korea Selatan bulan depan.
Sekiranya sebelum ini, dia menyatakan rasa gugup dalam persediaan solo ke Sukan Olimpik, namun keadaan itu kini berubah sepenuhnya.
Dengan kejayaan recurve berpasukan wanita layak ke pentas Olimpik Paris baru baru ini, persediaan fasa akhir Ariana yang turut beraksi dalam acara individu recurve tidak lagi bersendiri dengan adanya Nurul Azreena Mohd Fazil dan Syaqiera Mashayikh.
Dalam pada itu, Pengarah bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, komited keupayaan memanah recurve berpasukan wanita yang mampu mengubah ranking secara drastik benar benar menakjubkan.
April lalu, hasrat untuk melihat skuad ini layak ke Paris tampak kabur apabila sekadar menduduki kedudukan ke-24 dunia.
Kegagalan skuad memanah lelaki layak ke Sukan Olimpik Paris bukanlah suatu perkara yang tidak dijangka.
Ini kerana rata-rata atlet memanah negara yang dihantar untuk menyertai kejohanan kelayakan adalah daripada kalangan pelapis dan masih setahun jagung dalam merasai suasana pertandingan taraf antarabangsa.
Kali terakhir skuad memanah recurve trio lelaki layak ke Sukan Olimpik tiga edisi berturut-turut adalah pada 2008, 2012 dan 2016.
Berdasarkan rekod itu juga, sekaligus menjadikan Sukan Olimpik Paris sebagai edisi pertama buat trio recurve wanita beraksi di temasya sukan berprestij itu.
Bagaimanapun, Olimpian memanah negara, Dr. Mon Redee Sut Txi bangga selain berharap Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Mohamad Fazil mampu membuat kejutan dengan pungutan pingat emas di Paris.