Pemanah muda negara, Zarif Syahiir Zolkepeli dipilih menggantikan Allahyarham Haziq Kamaruddin bagi mengharungi kelayakan Sukan Olimpik 2020 bermula di Korea Selatan, bulan depan.
Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama jurulatih kebangsaan, Lee Jae-hyung dan Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
“Dia akan bersama Khairul Anuar Mohamad dan Akmal Nor Hasrin bagi mengharungi kempen berkenaan di Piala Asia, Gwangju, Korea Selatan pada 4 hingga 15 Jun sebelum bersaing dalam kelayakan Olimpik terakhir di Paris pada 18 hingga 20 Jun.
“Mereka kemudian akan bersama Bryon Ting mewakili negara di Piala Dunia peringkat ketiga di Paris dari 22 hingga 28 Jun. Setakat ini, hanya Khairul Anuar yang layak ke Olimpik Tokyo (menerusi acara individu) dan mereka akan berlepas ke sana sama ada 15 atau 16 Julai ini.
“Begitupun, siapa yang akan bersama Khairul Anuar ke Tokyo bergantung kepada kelayakan akhir nanti,” katanya.
Jumaat lalu, arena sukan tanah air dikejutkan dengan pemergian Haziq, 27, yang meninggal dunia selepas dilaporkan tidak sedarkan diri di rumahnya di Kajang sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.